Golongan anglofil tak yakin keupayaan bahasa ibunda di mata dunia.
REMCANA, BERITA HARIAN, 17 NOVEMBER 2013
Tohmahan terbaru golongan anglofil, yakni mereka yang kemaruk dan taksub bahasa Inggeris, terhadap kemampuan bahasa Melayu adalah peka dan kalangan Melayu pula memercubaan lain mencemarkan nama baiknya.
Kali ini mereka dan kalangan Melayu pula pertikaikan kemampuan bahasa Melayu dalam hal pengkodifikasian. Bagi mereka, asas sains komputer unjtuk pemprograman bahasa itu perlu menggunakan bahasa Inggeris. Malah, penggunaan bahasa Inggeris adalah wajar dalam hal ini.
Untuk itu mereka tidak lagi mengaitkannya dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI). Kini, ia dikaitkan dengan skop yang lebih luas. Ia membabitkan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, yang dikenali sebagai STEM dalam sistem pendidikan negara.
Selar Sistem Pendidikan
Sehubungan ini, mereka terus menyelar sistem pendidikan negara yang didakwa sebagai sengaja dipencongkan secara politik dalam bentuk perancangan sosial, untuk beri kepentingan kepada bahasa Melayu. Ini, bagi mereka, dilakukan dengan membelakangkan bahasa Inggeris yang juga bahasa ibunda STEM.
Untuk sekian kalinya, mereka mengungkit beberapa persoalan sama. Antaranya adalah beberapa kepentingan bahasa Inggeris pada abad ke-21, kelewatan dan kegagalan penerjemahan bahan sains di negara ini, dan ketidakmampuan bahasa Melayu dalam bidang pengkodifikasi khususnya serta sains dan teknologi amnya.
Selanjutnya, mereka gunakan beberapa contoh negara lain yang kononnya sudah tinggalkan bahasa negara masing-masing dan beralih kepada bahasa Inggeris.
Ini dilakukan untuk mraihkan manfaat pengembangan pesat teknologi yang bagi mereka bukan saja sesuai tapi wajar untuk kehidupan pada abad ke-21 ini.
Mereka teruskan penghujahan mereka mengenai kepentingan bahasa Inggeris dalam PPSMI dan STEM dengan menegaskan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa penghubungan untuk kedua-dua bidang itu. Tanpa pengetahuan dan penguasaannya, mereka menegaskan dunia akan jadi mundur.
Oleh itu kita tak boleh sekali-kali mengetepikan penggunaan bahasa Inggeris dalam PPSMI dan STEM. Ia perlu disegerakan agar golongan muda kita tak ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.
Lebih penting lagi bagi mereka ialah kebolehan mencipta dalam kalangan golongan muda kita akan jadi terhad jika kita tak segera beralih dari penggunaan bahasa Melayu ke bahasa Inggeris dalam bidang sains dan teknologi.
Untuk sekian kalinya, bahasa Melayu dihina oleh kaum Melayu sendiri yang juga penutur jati. Tindakan mereka ini bukan saja memperlekehkan bahasa Ibunda, etnik dan leluhur dalam khalayak, dalam dan luar negara tapi juga memperkecil kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, yakni yang terpenting, di sisi bahasa Inggeris yang hanya bahasa kedua penting di negara ini.
Bidas Pihak Keyakinan Lain
Mereka ini terus mebidas pihak yang punya keyakinan terhadap bahasa Melayu sebagai alat kemajuan untuk mengilmukan anak bangsa dan memakmurkan negara.
Pihak ini didakwa sebagai tidak berpijak di bumi yang nyata yang mahu terus kekal dengan cara lama. iaitu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu untuk semua bidang pengajian.
Sesungguhnya, bahasa Melayu mempu memandaikan anak bangsa kita. Hal ini memang benar selepas prasarana bahasa Melayu bukan saja dibangunkan dengan gigih, tapi dikembangkan dengan pesat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bahasa Melayu kini adalah bahasa moden dan ia mampu mengungkap segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam segala bidang ilmu.
Walaupun PPSMI dan STEM dikaitkan dengan bidang yang mencipta hasil dan merangsang gagasan baru, untuk membina dan seterusnya melestarikan masa depan yang baik untuk manusia sejagat, ia tak semestinya dilakukan dalam bahasa Inggeris semata-mata.
Ia boleh dilakukandalam bahasa apa pun. Yang penting di sini ialah upaya cipta dan bukannya bahasa yang digunakan untuk mengungkapkannya.
Bagaimanapun, negara yang membina dan mengembangkan bidang sains dalam bahasa sendiri, akan dianggap sebagai pemimpin. Ini kerana ia mampu menghasilkan ciptaan dan pembaruan dalam bahasa itu sendiri.
Oleh itu, untuk dianggap sebagai peneraju dalam bidang sains, kita perlu terus menggunakan bahasa Melayu yang memang mampu bawa kita ke arah itu.
TEO KOK SEONG
Professor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan