Golongan anglofil tak yakin keupayaan bahasa ibunda di mata dunia.
REMCANA, BERITA HARIAN, 17 NOVEMBER 2013
Tohmahan terbaru golongan anglofil, yakni mereka yang kemaruk dan taksub bahasa Inggeris, terhadap kemampuan bahasa Melayu adalah peka dan kalangan Melayu pula memercubaan lain mencemarkan nama baiknya.
Kali ini mereka dan kalangan Melayu pula pertikaikan kemampuan bahasa Melayu dalam hal pengkodifikasian. Bagi mereka, asas sains komputer unjtuk pemprograman bahasa itu perlu menggunakan bahasa Inggeris. Malah, penggunaan bahasa Inggeris adalah wajar dalam hal ini.
Untuk itu mereka tidak lagi mengaitkannya dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI). Kini, ia dikaitkan dengan skop yang lebih luas. Ia membabitkan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, yang dikenali sebagai STEM dalam sistem pendidikan negara.
Selar Sistem Pendidikan
Sehubungan ini, mereka terus menyelar sistem pendidikan negara yang didakwa sebagai sengaja dipencongkan secara politik dalam bentuk perancangan sosial, untuk beri kepentingan kepada bahasa Melayu. Ini, bagi mereka, dilakukan dengan membelakangkan bahasa Inggeris yang juga bahasa ibunda STEM.
Untuk sekian kalinya, mereka mengungkit beberapa persoalan sama. Antaranya adalah beberapa kepentingan bahasa Inggeris pada abad ke-21, kelewatan dan kegagalan penerjemahan bahan sains di negara ini, dan ketidakmampuan bahasa Melayu dalam bidang pengkodifikasi khususnya serta sains dan teknologi amnya.
Selanjutnya, mereka gunakan beberapa contoh negara lain yang kononnya sudah tinggalkan bahasa negara masing-masing dan beralih kepada bahasa Inggeris.
Ini dilakukan untuk mraihkan manfaat pengembangan pesat teknologi yang bagi mereka bukan saja sesuai tapi wajar untuk kehidupan pada abad ke-21 ini.
Mereka teruskan penghujahan mereka mengenai kepentingan bahasa Inggeris dalam PPSMI dan STEM dengan menegaskan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa penghubungan untuk kedua-dua bidang itu. Tanpa pengetahuan dan penguasaannya, mereka menegaskan dunia akan jadi mundur.
Oleh itu kita tak boleh sekali-kali mengetepikan penggunaan bahasa Inggeris dalam PPSMI dan STEM. Ia perlu disegerakan agar golongan muda kita tak ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.
Lebih penting lagi bagi mereka ialah kebolehan mencipta dalam kalangan golongan muda kita akan jadi terhad jika kita tak segera beralih dari penggunaan bahasa Melayu ke bahasa Inggeris dalam bidang sains dan teknologi.
Untuk sekian kalinya, bahasa Melayu dihina oleh kaum Melayu sendiri yang juga penutur jati. Tindakan mereka ini bukan saja memperlekehkan bahasa Ibunda, etnik dan leluhur dalam khalayak, dalam dan luar negara tapi juga memperkecil kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, yakni yang terpenting, di sisi bahasa Inggeris yang hanya bahasa kedua penting di negara ini.
Bidas Pihak Keyakinan Lain
Mereka ini terus mebidas pihak yang punya keyakinan terhadap bahasa Melayu sebagai alat kemajuan untuk mengilmukan anak bangsa dan memakmurkan negara.
Pihak ini didakwa sebagai tidak berpijak di bumi yang nyata yang mahu terus kekal dengan cara lama. iaitu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu untuk semua bidang pengajian.
Sesungguhnya, bahasa Melayu mempu memandaikan anak bangsa kita. Hal ini memang benar selepas prasarana bahasa Melayu bukan saja dibangunkan dengan gigih, tapi dikembangkan dengan pesat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bahasa Melayu kini adalah bahasa moden dan ia mampu mengungkap segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam segala bidang ilmu.
Walaupun PPSMI dan STEM dikaitkan dengan bidang yang mencipta hasil dan merangsang gagasan baru, untuk membina dan seterusnya melestarikan masa depan yang baik untuk manusia sejagat, ia tak semestinya dilakukan dalam bahasa Inggeris semata-mata.
Ia boleh dilakukandalam bahasa apa pun. Yang penting di sini ialah upaya cipta dan bukannya bahasa yang digunakan untuk mengungkapkannya.
Bagaimanapun, negara yang membina dan mengembangkan bidang sains dalam bahasa sendiri, akan dianggap sebagai pemimpin. Ini kerana ia mampu menghasilkan ciptaan dan pembaruan dalam bahasa itu sendiri.
Oleh itu, untuk dianggap sebagai peneraju dalam bidang sains, kita perlu terus menggunakan bahasa Melayu yang memang mampu bawa kita ke arah itu.
TEO KOK SEONG
Professor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Demi cintaku pada bahasa Melayu, aku himpunkan semula segala artikel tentang bahasa, kebahasaan dan etnologi Melayu sebagai penambah nilai pada bangsa ini yang citranya kian suram. Semoga bermanfaat
Sabtu, 30 November 2013
Jumaat, 22 November 2013
PERBANYAKKAN BUKU ILMIAH MELAYU
SURAT PEMBACA, BERITA HARIAN. JUMAAT, 22.NOV.2013
Saya ingin beri respon kepada kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini bahawa hanya bahasa Inggeris paling sesuai megajar Sains dan Matematik.
Beliau juga menyatakan perubahan ilmu dari bahasa Arab ke bahasa Inggeris berlaku pada abad ke -15, bila golongan Kristian Eropah mengikuti perkembangan tamadun Islam dan mencedok ilmu yang ada pada orang Arab dengan menterjemah bahasa itu kepada bahasa Latin dan Inggeris.
Saya tidak nafikan kebenarannya kalau dipandang dari sudut tamadun dan sejarah perkembangan dunia. Tapi kalau dipandang dari sudut perjuangan bangsa, nilai maruah dan harga diri, bahasa Melayu wajar dipertahankan diangkat dan disanjung seperti bahasa Jepun, China dan Korea yang jadi maju atas landasan bahasanya sendiri.
Kita tak perlu pergi jauh hingga ke Jepun, China dan Korea. Lihat saja negara jiran, Thailand. Saya optimis bahawa Thailand akan jadi sebuah negara maju dengan acuan sendiri. Berpaksikan bahasa, budaya dan adat resam bangsa Thai.
Namun Thailand tak pinggirkan bahasa lain. Antara bahasa yang diberi perhatian ialah bahasa Melayu. Pelancaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Melayu - Thailand pada 1 Oktober lalu di Yala adalah satu kejutan. Kalau Thailand ada usaha memertabatkan bahasa Melayu, kenapa tidak kita?
Untuk pecahkan kebuntuan di atas tak ada cara lain, kecuali adanya kesedaran dan kecintaan mendalam terhadap bahasa dan budaya sendiri. Kerajaan dan rakyat perlu lakukan satu tranformasi ilmu di mana ilmuwan, cendiakiawan, pemikir/penulis, alim ulamak dan umara perlu berganding bahu menggerakkan satu usaha bersungguh-sungguh bagi menterjemahkan kembali segala 'kepandaian Arab' yang diciplak bangsa Eropah itu ke dalam bahasa Melayu.
Di sini letaknya peranan agensi kerajaan seperti DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku (PKB), Perbadanan Perpustakaan Negara (PPN), Arkib Negara, pusat pengajian tinggi, syarikat swasta dan sesiapa saja yang merasakan mampu beri sumbangan.
Saya tak lihat perkara ini satu kesukaran kerana kita ada kemampuan dari segi kewangan, tenaga dan pakar. Negara kini sudah ramai ilmuan professional seperti doktor, jurutera, peguam, dan pelbagai lagi jawatan tinggi yang disandang.
Apakah mereka tak boleh terjemahkan kepakaran mereka ke dalam buku untuk diwariskan kepada anak bangsa?. Namun ilmuwan kita nampaknya lebih cenderung ke pentas politik.
Ahmad Nazri Sham
Chenor, Pahang.
Rabu, 2 Oktober 2013
Kajian Buktikan Bangsa Melayu Berasal Dari Asia Barat
BERITA HARIAN; RABU, 2 OKTOBER 2013
Ayer Keroh: Sekumpulan penyelidik tempatan yang jalankan kajian tentang asal-usul orang Melayu, berjaya membuktikkan secara saintifik bangsa itu bukan saja wujud, malah berasal dari Asia Barat.
Ayer Keroh: Sekumpulan penyelidik tempatan yang jalankan kajian tentang asal-usul orang Melayu, berjaya membuktikkan secara saintifik bangsa itu bukan saja wujud, malah berasal dari Asia Barat.
Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata penemuan itu sekaligus menyanggah fakta sejarahdibuat pihak asing sebelum ini yang menyatakan sebaliknya, selain pendapat menyatakan orang Melayu berasal dari wilayah selatan Yunan.
Katanya penemuan berkenaan berdasarkan bukti saintifik meliputi kajian asid deoksiribonukliek (DNA), arkeologi, geologi, bialogi dan linguistik yang diselidik sepanjang kajian selama lebih 20 tahun.
Bangsa Melayu wujud di Nusantara, bukan berasal datang dari Yunan dan sebagainya malah hasil penyelidikan terbaru itu membuktikan bangsa itu berasal dari Asia Barat, sebelum mereka tiba melalui penghijrahan ke alam Melayu dai rantau ini.
Bukti Didokong Kajian Genatik
"Bukti ini juga didokong kajian genatik yang dapat mengesahkan kewujudan bangsa itu. Bagaimanapun, kajian masih diteruskan termasuk mengumpul pakar sejarah dan genatik bagi mengisytiharkan secara bersama penemuan asal-usul bangsa Melayu itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan simposium Serantau Asal-Usul Melayu menelusuri Tunjang Melayu di Dewan Seri Negeri di sini, semalam..
Beliau mengulas mengenai pembentangan kertas kerja bertajuk "Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Suara Pribumi, Dr. Zaharah Sulaiman pada program itu.
Hadir sama, Felo Penyeliikan Utama dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abd Rahman.
Mohd Ali berkata, DMDI sentiasa mengalu-alukan penganjuran program yang boleh jadi platform perbincangan dan penyelidikan berkaitan asal-usul susur galur bangsa Melayu bagi membolehkan hasil kajian sedia ada dilengkapkan.
Sementara itu, Nik Hassan berkata, penemuan terbaru itu dijalankan menerusi penyelidikan bersama Prof. Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan, Universiti Petahanan Nasional Malaysia dan Pengarah Suara Pribumi, Dr. Zaharah Sulaiman.
Katanya, fakta tentang penemuan hasil penyelidikan bersama beberapa universiti, selain sejarawan negara itu akan dapat diikuti tak lama lagi selepas kajian itu dibukukan.
Langgan:
Ulasan (Atom)
