Jumaat, 24 Januari 2014

BILA RAKYAT MALAYSIA TAK TAHU AKAN BAHASANYA

RENCANA, UTUSAN MALAYSIA; 24 JANUARI 2014

TULISAN seorang insan bernama Shashi Kumar dari Shah Alam, dalam sebuah akhber bahasa Inggeris Sabtu lalu, membuka mata kita betapa kurangnya minat dan perhatian diberi oleh sesetengah rakyat negara ini terhadap bahasa negara sendiri iaitu bahasa Melayu.

Anehnya mereka ini sering dabik dada mengaku orang Malaysia sejati bila ditegur tak patriotik. Apa tandanya mengaku warga Malaysia kalau bahasa negara sendiri tak pun tak tahu, malah tergamak berkata "gua tak tau cakap Melayu"

Orang begini sememangnya tak patriotik sebagaimana dinyatakan Shashi Kumar. Apa taknya, ketika negara sudah lebih 55 tahun merdeka, tak sepatutnya masih ada rakyat negara ini yang tak boleh bercakap bahasa Melayu dan sedikit pun tak ada usaha untuk bertutur dalam bahasa negara yang mereka akui sebagai negara mereka sendiri.

Apakah orang begini tak rasa malu ketika pekerja asing, baik dari Bangladesh, Nepal, India, Vietnam atau dari mana saja pun boleh berbahasa Melayu walhal baru tinggal di sini selama beberapa bulan. Inikan pula mereka yang kononnya rakyat Malaysia, dilahirkan di sini selama berpuluh tahun, tapi sedikit pun tak mahu berusaha menguasai bahasa negara.

Kita masih terima mereka yang sudah berada di sini sejak sebelum merdeka tapi tak berpeluang menggunakan bahasa Melayu kerana pergaulan sesama puak mereka saja.

Pengabaian terhadap penggunaan bahasa Melayu oleh anasir-anasir tertentu di negara ini nampak demikian jelas, termasuklah oleh beberapa pemaju perumahan. Ia beri gambaran seolah-olah ada arahan atau peraturan dari persatuan pemaju supaya ahli-ahlinya abaikan penggunaan bahasa Melayu.

Apa tidaknya, dalam risalah-risalah jualan perumahan yang beredar dalam pasaran hanya tercetak dalam bahasa Inggeris dan Mandarin saja. Sepatah perkataan Melayu pun tak terdapat di dalamnya melainkan nama pemaju itu sendiri, seperti Keris Properties Sdn Bhd, atau nama jalan di mana perumahan itu terletak.

Risalan demikian berterusan diedar dengan menyelitkan ia dalam dalam akhbar yang dikirim ke rumah-rumah, termasuk dalam akhbar berbahasa Melayu.

Lebih menakjubkan, pemaju begini sanggup pula edarkan risalah mereka di kawasan majoriti Melayu, misalnya di Shah Alam.

Ini jelas menggambarkan seolah-olah mereka mencabar rakyat dan pihak berkuasa terhadap penggunaan bahasa negara sendiri. Pihak berkuasa tempatan seharusnya lebih prihatin dengan tidak membenarkan pemaju seperti itu berleluasa mengabai bahasa Melayu.

Tentunya kita tak terfikir apakah rakyat di negara-negara seperti Perancis, Jepun atau Jerman akan mengabaikan bahasa mereka.

Masalahnya, warganegara semacam ini belajar di sekolah Cina di mana mereka pelajari Bahasa Melayu hanya untuk lulus Sijil Pelajaran Malaysia. Tak ada usaha yang nyata dibuat bagi  membolehkan murid-murid sekolah terbabit menguasai dan bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Ini kerana pelbagai pertubuhan Cina seperti Dong Zong begitu sekali menekankan semua orang Cina harus perlu menguasai bahasa Mandarin. Sememangnya tak salah bagi mereka berikan perhatian pada bahasa sendiri, tapi tentunya tanpa mengabaikan bahasa Melayu sampai nak bertutur bahasa Melayu pun mereka tak mampu.

Hasrat demikianlah yang menyebabkan begitu ramai lulusan sekolah Cina yang berterusan bergaul sesama sendiri hingga wujud pandangan tak perlu tahu bahasa Melayu, atau tak ada usaha mencuba bertutur bahasa Melayu. Mereka seolah-olah bukan berada di Malaysia, tapi di Hong Kong, Taiwan atau China.

Sudah tiba masanya kerajaan lakukan sesuatu untuk pastikan sekurang-kurangnya mereka boleh bertutur bahasa Melayu. Jabatan Pelajaran harus buat ketetapan bahawa seseorang calon kertas peperiksaan Bahasa Melayu peringkat SPM tak akan lulus subjek itu jika gagal lulus ujian lisan bahasa Melayu.

Peraturan demikian sajalah yang akan memaksa murid-murid sekolah Cina menganggap serius menguasai bahasa Melayu atau sekurang-kurangnya mampu menuturkannya.

REJAL ARBEE,
Fellow Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Isnin, 13 Januari 2014

PERKEMBANGAN SASTERA SELAMATKAN BAHASA

Bulan bahasa adalah masa merenung keadaan dan nasib bahasa. Ada gagasan 'Maju Negara Maju Bahasa. Memang begitu, negara maju ada banyak peluang mengembangkan bahasa dan sebarkannya k seluruh dunia.

Kemajuan Bahasa Inggeris
Kemajuan Bahasa Inggeris kebanyakan adalah akibat hebatnya kekuasaan politik dan ekonomi Amerika Syarikat (AS). Dengan pengaruhnya dalam bidang politik dan ekonomi secara automatik, semakin kuat pengaruh bahasa Inggeris.

Tapi ada proses sebaliknya, Maju Bahasa Maju Negara kerana kemajuan dalam bahasa gilirannya mendorong kekuatan sebuah negara. Bahasa kebangsaan misalnya menyatukan rakyat sebuah negara, mencegah perpecahan dan menjadi dasar kekuatan negara.

Gagasan 'Maju Negara Maju Bahasa' (atau 'Maju Bahasa Maju Negara') tepat dalam konteks Malaysia juga. Negara ini berbilang bangsadan bahasamenyatukan semua kaum serta menggalakkan persefahaman antara mereka. Perkembangan bahasa juga melestarikan budaya tradisional yang penting untuk wujudkan keperibadian sebuah bangsa.

Contoh nyata ialah Jepun di mana kerajaan menunjang penanaman padi sendiri meskipun dari segi ekonomi, ia merugikan dan lebih murah mengimport beras.

Maka timbul persoalan, apakah langkah yang harus diambil bagi memajukan bahasa Melayu agar setanding dengan bahasa dunia yang lain, terutama bahasa Inggeris?

Pertama, kembali ke nama bahasa Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Di luar negara orang sangat bingung dengan istilah bahasa Malaysia. Kedua, menggunakan bahasa itu dalam segala bidang. Teladan mesti diberikan oleh semua kakitangan kerajaan termasuk menteri yang harus menggunakan bahasa Melayu pada semua peringkat.

Pada 1977, Perdana Mentari Papua New Guinea, Somare menggunakan bahasa kebangsaan 'Tok Pisin' selama lawatan ke Jepun dengan dua terjemahan: dari Tok Pisin ke bahasa Inggeris dan dari bahasa Inggeris ke bahasa Jepun. Tentu dia tahu bahasa Inggeris, tapi tetap mahu tunjukkan keperibadian bahasanya. Contoh yang patut diteladani!

Kadang-kadang kita boleh menumpang tuah bahasa Indonesia jika bahasa itu dipelajari oleh masyarakat antarabangsa selepas Indonesia jadi kuasa ekonomi dunia. Itu persepsi salah. Tak boleh menumpang tuah bahasa lain meskipun bahasa itu serumpun. Bagi orang Indonesia, bahasa Indonesia adalah keperibadian mereka, untuk orang Malaysia - bahasa Melayu.

Keunggulan bahasa Melayu
Lagi pula bahasa Melayu punya keungulan sendiri. Kekuatan bahasa Melayu adalah pada statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan dalam faktor sejarah sehingga jadi linguafranca di kawasan Asia Tenggara dahulu. Kekuatan bahasa itu juga kerana banyak karya klasik dalam bahasa itu.

Perkembangan sastera sememangnya boleh menunjukkan perkembangan bahasa, bahkan menyelamatkan bahasa. Sejarah Russia misalnya menunjukkan bagaimana sastera menyelamatkan bahasa Russia, mula-mula dari kongkongan bahasa Jerman, (anad ke-18) dan kemudian dari kongkongan bahasa Perancis (abad ke-19)

Penulis di sana tetap berkarya dalam bahasa Russia dengan mengembangkannya hingga sekarang rakyat Russia bercakap dalam bahasa yang diciptakan pada abad ke-19 oleh pejungga Alexander Pushkin.

Prof Dr Victor Pagodaev
UNIVERSITI MALAYA

Sumber: Berita Harian
Oktober 2013