SURAT PEMBACA, BERITA HARIAN. JUMAAT, 22.NOV.2013
Saya ingin beri respon kepada kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini bahawa hanya bahasa Inggeris paling sesuai megajar Sains dan Matematik.
Beliau juga menyatakan perubahan ilmu dari bahasa Arab ke bahasa Inggeris berlaku pada abad ke -15, bila golongan Kristian Eropah mengikuti perkembangan tamadun Islam dan mencedok ilmu yang ada pada orang Arab dengan menterjemah bahasa itu kepada bahasa Latin dan Inggeris.
Saya tidak nafikan kebenarannya kalau dipandang dari sudut tamadun dan sejarah perkembangan dunia. Tapi kalau dipandang dari sudut perjuangan bangsa, nilai maruah dan harga diri, bahasa Melayu wajar dipertahankan diangkat dan disanjung seperti bahasa Jepun, China dan Korea yang jadi maju atas landasan bahasanya sendiri.
Kita tak perlu pergi jauh hingga ke Jepun, China dan Korea. Lihat saja negara jiran, Thailand. Saya optimis bahawa Thailand akan jadi sebuah negara maju dengan acuan sendiri. Berpaksikan bahasa, budaya dan adat resam bangsa Thai.
Namun Thailand tak pinggirkan bahasa lain. Antara bahasa yang diberi perhatian ialah bahasa Melayu. Pelancaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Melayu - Thailand pada 1 Oktober lalu di Yala adalah satu kejutan. Kalau Thailand ada usaha memertabatkan bahasa Melayu, kenapa tidak kita?
Untuk pecahkan kebuntuan di atas tak ada cara lain, kecuali adanya kesedaran dan kecintaan mendalam terhadap bahasa dan budaya sendiri. Kerajaan dan rakyat perlu lakukan satu tranformasi ilmu di mana ilmuwan, cendiakiawan, pemikir/penulis, alim ulamak dan umara perlu berganding bahu menggerakkan satu usaha bersungguh-sungguh bagi menterjemahkan kembali segala 'kepandaian Arab' yang diciplak bangsa Eropah itu ke dalam bahasa Melayu.
Di sini letaknya peranan agensi kerajaan seperti DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku (PKB), Perbadanan Perpustakaan Negara (PPN), Arkib Negara, pusat pengajian tinggi, syarikat swasta dan sesiapa saja yang merasakan mampu beri sumbangan.
Saya tak lihat perkara ini satu kesukaran kerana kita ada kemampuan dari segi kewangan, tenaga dan pakar. Negara kini sudah ramai ilmuan professional seperti doktor, jurutera, peguam, dan pelbagai lagi jawatan tinggi yang disandang.
Apakah mereka tak boleh terjemahkan kepakaran mereka ke dalam buku untuk diwariskan kepada anak bangsa?. Namun ilmuwan kita nampaknya lebih cenderung ke pentas politik.
Ahmad Nazri Sham
Chenor, Pahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan